KUALA LUMPUR: Penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)
bakal menerima tambahan RM300 seorang tahun depan sebagai menampung kenaikan
Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dijangka sebanyak 1.8 peratus akibat
pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata
jumlah bantuan itu akan membabitkan tambahan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion,
di mana ia diserap daripada hasil kutipan GST tahun depan.
"Pada tahun pertama (2015) pelaksanaan GST, jumlah
kutipan GST selama sembilan bulan ialah RM23.18 bilion namun jumlah ini perlu
ditolak dengan RM14.4 bilion kerana pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan
(SST).
"Dengan baki kutipan ini, maka kita belanjakan melalui
beberapa mekanisme termasuk penambahan kepada jumlah BR1M tahun depan sebagai
langkah membantu rakyat menghadapi kenaikan IHP.
"Jika kerajaan umum nilai BR1M tahun depan RM700, maka
tambah RM300 akan dapat RM1,000, jika RM800, maka nilainya RM1,100, jika lebih
maka lebihlah lagi rakyat dapat (BR1M)," katanya kepada pemberita dalam
sidang media di lobi Parlimen di sini, sebentar tadi.
Sumber : Berita Harian
0 comments:
Post a Comment