Pada tanggal 1 September 2016 baru-baru ini, Management & Science University menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bagi menyempurnakan hari bersejarah buat warga Kolej PTPL dengan penjenamaan semula nama Kolej PTPL kepada MSU College.
Penjenamaan semula Kolej PTPL kepada MSU College diharap
dapat menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab
pendidikan serantau. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata
penjenamaan semula itu adalah satu langkah ke hadapan MSU College selain
menjadi masa depan baharu kepada kolej serta Management and Science University
(MSU). Katanya, usaha penjenamaan semula itu memberi fokus kepada
pengantarabangsaan kolej berkenaan selain sebagai komponen Pendidikan Teknikal
dan Latihan Vokasional (TVET) bagi MSU.
Turut hadir, Presiden MSU dan MSU College, Prof Tan Sri Dr
Mohd Shukri Ab Yajid dan Pro Canselor MSU, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.
Terdahulu, ketika berucap, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pemilihan nama MSU College itu memang
bertepatan dan sejajar dengan kedudukan sebagai kolej institusi kepada MSU yang
memiliki reputasi sebagai sebuah institusi swasta berkualiti. Sementara itu, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri berkata, selepas penjenamaan itu, MSU College mensasarkan sebanyak
20 peratus daripada keseluruhan pelajarnya di 10 kampus akan terdiri daripada
pelajar luar negara. Katanya, pada masa ini, MSU College mempunyai kira-kira
10,000 pelajar di seluruh negara manakala keseluruhan pelajar termasuk di MSU
adalah kira-kira 25,000..